mutakhir

Isu politik, akhbar kumpulan NSTP jadi rebutan

Oleh Ahmad Ismail

SITUASI politik semasa dalam negara memberikan impak jualan akhbar di bawah kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) yang laris ibarat goreng pisang panas di Segamat.

Pengedar serta penjual akhbar kumpulan NSTP di Jalan Awang, Fong Fei Goh, 40, berkata, jualan Harian Metro (HM), Berita Harian (BH) dan New Straits Times (NST) jadi rebutan pelanggan seawal jam 5.15 pagi sejak beberapa hari lalu.

“Berita peletakan jawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pelantikan semula beliau sebagai Perdana Menteri Interim paling menjadi rebutan pelanggan,” katanya ditemui hari ini.

Menurut Fong, berita yang turut melariskan akhbar kumpulan NSTP ialah berkaitan 222 ahli parlimen dipanggil ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kebiasaannya, pelanggan datang membeli akhbar seawal jam 6 pagi namun berlaku perubahan waktu sejak beberapa hari lalu.

“Kandungan serta cara penyampaian berita tiga akhbar ini bukan saja mendapat pujian dalam kalangan pembaca Melayu malah bukan Melayu, ditambah isu semasa yang berlaku,” katanya.

Jelasnya, hampir 900 naskah ketiga-tiga akhbar ini terjual sebelum jam 10 pagi sejak kebelakangan ini.

“Tidak dinafikan penawaran berita di portal antara pilihan masa kini namun ada dalam kalangan pelanggan mahu menyimpan keratan berita bercetak bagi dijadikan kenangan.

“Saya juga terpaksa menyimpan beberapa naskah akhbar HM, BH dan NST buat pelanggan tetap kerana tidak mahu dimarahi jika ia habis dibeli,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 7:51pm
    d