mutakhir

Tiga pemandu mabuk ditahan

Oleh Balqis Jazimah Zahari

TIGA pemandu lelaki ditahan selepas didapati memandu dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk yang dijalankan di Jalan Sultan Idris Shah di Ipoh semalam hingga pagi hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak Deputi Superintendan Abd Aziz Abd Rahman berkata, operasi itu dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

“Operasi itu bermula dari 11.30 malam hingga 4 pagi tadi dengan kekuatan lapan anggota.

“Mereka itu dikesan memandu dalam keadaan mabuk dalam pemeriksaan awal yang dilakukan.

“Kesemua pemandu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 45 A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi.

Abd Aziz berkata, selain itu sebanyak 15 saman turut dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.

“Kita mengeluarkan saman terhadap 11 kereta, tiga motosikal dan dua kenderaan pelbagai guna (MPV),” katanya.

Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 11:25pm
d