mutakhir

Mukhriz menghadap Sultan Kedah hari ini [METROTV]

Oleh M Hifzuddin Ikhsan dan Siti Nur Mas Erah Amran

MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengadakan pertemuan bersama barisan EXCO Kedah di kediaman rasminya di Seri Mentaloon di Alor Setar malam tadi.

Pertemuan yang berlangsung lebih dua jam itu, dipercayai bagi membincangkan kedudukan kerajaan negeri susulan perpecahan Pakatan Harapan (PH) dan peletakan jawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beberapa EXCO dilihat memasuki Seri Mentaloon pada 8.45 malam sebelum meninggalkan pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar secara berperingkat pada 11 malam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri Datuk Zamri Yusuf berkata, satu perjumpaan bersama semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dijadual berlangsung pada 8 pagi hari ini.

“Esok pagi (hari ini) ada perjumpaan lagi dengan Menteri Besar dan semua ADUN. (Perjumpaan) Malam ini semua EXCO datang.

“Esok ada perjumpaan lagi, kita akan bincang lagi,” katanya ketika ditemui ketika meninggalkan Seri Mentaloon.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Halimaton Saadiah Saad, berkata, situasi ketika ini adalah tenang dan baik.

“Setakat ini semua baik, untuk rakyat Kedah kita buat yang terbaik,” katanya ringkas.

Difahamkan, Mukhriz dijadual menghadap Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Badlishah pagi hari ini, sebelum mengadakan sidang media khas di Seri Mentaloon pada 11 pagi.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 12:48am
    d