mutakhir

Mohamad angkat sumpah Ahli Parlimen Kimanis

Oleh BERNAMA

AHLI Parlimen Kimanis baharu, Datuk Mohamad Alamin mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, hari ini.

Majlis angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Mohamad, 47, dari Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis selepas menewaskan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang, pada 18 Januari lalu.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei 2018.

Mohamad Ariff mengucapkan tahniah kepada Mohamad atas kemenangan pada PRK itu.

“Semoga dapat memberi sumbangan berguna dan berfaedah kepada Dewan ini serta seterusnya Ahli Yang Berhormat dapat berkhidmat dengan cemerlang. Tahniah diucapkan sekali lagi,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Ariff berkata, persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 9 Mac ini bergantung kepada perkembangan situasi politik semasa.

“Bagaimanapun, persiapan bagi persidangan Dewan Rakyat seperti biasa,” katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 12:43pm
d