mutakhir

Perdaya ibu tunggal RM350,000

Oleh BERNAMA

AHLI perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan memperdayakan ibu tunggal untuk memasukkan wang berjumlah RM350,000 ke dalam akaun syarikat miliknya bagi tujuan pelaburan.

Abdul Majib Mohd Yusoff, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Tertuduh didakwa memperdayakan Marwani Hirmi Muda untuk memasukkan wang ke dalam akaun milik Tres Alliance Sdn Bhd secara pemindahan dalam talian melalui dua transaksi berjumlah RM350,000.

Abdul Majib, pengarah syarikat itu dituduh melakukan kesalahan di Wangsa Maju mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiyah Samsudin menawarkan jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun, peguam V Kumar yang mewakili Abdul Majid memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh mempunyai lima anak.

Mahkamah membenarkan Abdul Majib diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Mac untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 2:41pm
d