mutakhir

'Ini pendirian PAS' - Hashim

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PAS akan tetap setia bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) menerusi Muafakat Nasional walau apa sahaja keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan pemilihan Perdana Menteri ke-8.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, sejak kerjasama itu ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, kedua-dua parti teguh menuruti perjanjian yang sudah termaktub dan dimeterai.

“Pada mesyuarat Majlis Syura lalu, juga kita memutuskan UMNO dan PAS perlu menepati perjanjian, setakat ini kedua-dua parti tidak melanggar, malah teguh dengannya.

“Apa sahaja cadangan dikemukakan kedua-dua pihak selagi mana tidak bercanggah dengan syariat dan tidak membabitkan DAP, kita bersetuju.

“PAS tidak tamakkan kuasa dan kita tidak pernah meminta-minta dalam soal jawatan, namun jika diberikan kita terimanya dengan hati terbuka,” katanya ketika ditemui di Kompleks PAS Perlis, hari ini.

Hashim berkata, keputusan untuk terus bekerjasama dengan UMNO adalah keutamaan PAS dan tidak berlaku percanggahan dengan dasar serta hukum Islam.

Mengulas mengenai cadangan pembentukan kerajaan minoriti, Hashim menjelaskan ia lebih mendatangkan keburukan kepada rakyat.

“Kerajaan minoriti ini, jika dibentuk saya bimbang akan ada lagi usul atau undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri seterusnya berlaku lagi krisis seperti sekarang.

“Jadi kerajaan yang dibentuk tidak bertahan lama dan sebaiknya kita biar rakyat yang tentukan menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 3:05pm
    d