mutakhir

Warga emas jaguh daki gunung

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

JIKA dilihat daripada raut wajah dan usianya, tidak ramai menyangka warga emas dari Kampung Rhu Muda, Marang ini sudah mendaki lebih 10 gunung terkemuka di dunia termasuk Everest Base Camp (EBC).

Bekas guru Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu itu mendaki EBC setinggi 5,364 meter dari paras laut pada Disember 2018 selain menawan puncak Gunung Kinabalu, Sabah sebanyak enam kali sejak aktif dalam kegiatan mendaki pada 2011.

Muhamad Damin, 68, berkata, pada mulanya penglibatannya di dalam sukan lasak itu sekadar hobi dan mengisi masa lapang selepas bersara pada 2011.

“Pada peringkat awal, saya hanya menjalani rutin harian mendaki Bukit Besar di Kuala Terengganu, tetapi lama-kelamaan aktiviti lasak itu menjadi kegilaan sebelum memberanikan diri mendaki gunung lain di seluruh negara dan dunia.

“Aktiviti mendaki itu menjadi kewajiban pada setiap minggu, paling kurang empat kali seminggu saya mesti mendaki mana-mana bukit di negeri ini.

“Banyak kelebihan menjalani aktiviti itu antaranya terhindar daripada penyakit kronik dan obesiti selain menghilangkan tekanan,” katanya.

Menurutnya, selain EBC dan Gunung Kinabalu, gunung lain pernah ditawannya termasuk Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia.

Katanya, gunung terkenal dalam negara seperti Chemerung, Berembun dan Langsir (CBL) di Dungun, Gunung Sarut (Setiu), Gunung Tebu (Besut) dan Gunung Tahan (Pahang) pernah didaki.

“Terbaru saya menyertai ekspedisi menawan puncak Gunung Merapi di Sumatera, Indonesia pada Disember tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, orang ramai terutama warga emas seusia dengannya perlu melakukan aktiviti riadah mengikut kemampuan diri masing-masing.

Katanya, usia tua bukan menjadi alasan untuk tidak aktif kerana melalui amalan riadah seperti mendaki dan berjogging ia boleh menghindarkan diri daripada penyakit.

Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 3:15pm
d