mutakhir

Polis buru lapan 'kaki pukul' [METROTV]

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

POLIS memburu sekumpulan lapan lelaki ‘paling berani Lahad Datu’ yang merusuh sambil menumbuk dua remaja lelaki di hadapan sebuah kedai perkakasan, di bandar ini, kelmarin.

Dalam kejadian 2 petang itu, mangsa berusia 16 dan 18 tahun ditumbuk dan dipukul bertubi-tubi oleh kumpulan lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum kejadian mangsa pergi ke sebuah kedai perkakasan untuk membeli barang.

Menurutnya, mangsa didatangi sekumpulan enam hingga lapan lelaki tidak dikenali berusia dalam lingkungan 20-an.

“Kumpulan lelaki itu tiba-tiba memukul mangsa dan sepupunya yang berada dalam kereta berdekatan kedai terbabit.

“Selepas itu, kumpulan suspek berkenaan melarikan diri. Akibat kejadian, mangsa dilaporkan mengalami bengkak dan pendarahan di hidung serta luka calar di leher.

“Susulan kejadian, mangsa membuat laporan polis dan usaha mengesan suspek giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Nasri berkata, siasatan mendapati suspek memukul mangsa tanpa menggunakan senjata.

Beliau berkata, rakaman kejadian melalui kamera litar tertutup (CCTV) sudah diperolehi untuk mengesan wajah suspek.

“Justeru, kami meminta orang ramai yang mempunyai butiran suspek agar menghubungi pihak polis dalam membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 4:01pm
d