mutakhir

HKK 2020 perkasa sosio ekonomi rakyat

Oleh Nurul Husna Mahmud

HARI Kraf Kebangsaan 2020 (HKK 2020) yang kini berlangsung sehingga 9 Mac depan terus memfokuskan usaha memperkasakan sosio ekonomi rakyat.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail berkata, tema Kraf Memperkasa Sosioekonomi Rakyat, HKK 2020 dipilih selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang melihat kraf bukan sekadar produk kesenian tetapi membuka peluang menjana pendapatan tambahan kepada isi rumah.

“Karnival kali ini disertai 680 usahawan kraf termasuk 329 usahawan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur selain membawa penampilan khas beberapa ahli KKK dari luar bandar, bandar dan juga masyarakat Orang Asli dilihat sebagai saluran penting menghubungkan terus kepada pelanggan.

“Selain itu turut diperkemaskan dalam penganjuran kali ini ialah penggunaan teknologi digital bagi paparan produk serta transaksi niaga membolehkan capaian lebih luas selain relevan untuk menarik minat generasi muda,” katanya.

Pengisian untuk HKK 2020 sudah masuk kali ke-18 penganjurannya menyaksikan 12 pameran termasuklah Malaysian Craft Digital Hub, Pameran Karya Ulung Kraf Ukiran Kayu, Pameran Produk Inspirasi Tokoh, Pameran Evolusi Kraf Ukiran Kayu dan Pameran 40 tahun Kraftangan Malaysia.

Pengunjung bukan sahaja dapat membeli pelbagai produk kraf berkualiti membabitkan produk seperti tekstil, hasil rimba, logam dan tanah, mereka turut merasai impak Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang memberi penekanan kepada empat segmen iaitu e-marketplace, blended learning, muzium digital, dan e-services dalam segmen Malaysian Craft Digital Hub.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Dr Noor Zari Hamat yang menyempurnakan perasmian HKK2020 berkata, beliau berharap sasaran nilai jualan sebanyak RM18 juta dapat dicapai.

“Sempena Visit Malaysia 2020, HKK 2020 dilihat sebagai program utama yang berkesan dalam usaha merancakkan aktiviti mempromosi industri pelancongan negara.

“Berharap penggiat kraf akan memanfaatkan kehadiran pelancong menerusi penghasilan produk kraf bertaraf antarabangsa, mengikut trend terkini, unik serta beridentitikan Malaysia. Di akhir HKK 2020 diharap nilai jualan iaitu RM18 juta dapat dicapai,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan dua anugerah iaitu Anugerah Tokoh Kraf Negara kepada Rohana Abdul Rahman dari Sweet Touch Ceramic Sdn Bhd dan Anugerah Usahawan Kraf Muda 2020 dari Syarikat Kayu Warisan Enterprise Johor Nor Hazilawati Buang.

Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 4:21pm
d