mutakhir

UMNO tersinggung perutusan Tun M

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

“KAMI sebagai ahli UMNO mendoakan kesihatan yang baik dan hati yang tenang kepada Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad,” kata Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata demikian berhubung perutusan khas Tun Mahathir semalam yang menyentuh beberapa perkara terutama di perenggan 11 dan 12 yang amat menyinggung perasaan ahli parti itu.

Annuar juga menyarankan kepada semua ahli UMNO supaya meneruskan perjuangan dengan hati yang tabah dan sabar demi menegakkan kebenaran dan kebaikan bagi agama, bangsa dan negara.

“UMNO amat memahami situasi yang sedang dilalui oleh Tun pada masa ini. Masalah yang sedang dihadapi negara sekarang sedikit-sebanyak adalah berpunca dari Tun sendiri.

“Walaupun, kenyataan itu menghiris hati ahli UMNO, namun kita menyeru agar semua ahli UMNO dapat bersabar, berlapang dada dan terus mempamerkan sifat yang baik dan berjiwa besar.

“UMNO diuji dengan pelbagai penganiayaan, kezaliman, fitnah dan sebagainya tetapi kepada Allah kita berserah dan terus bersabar,” katanya ketika sidang media khas selepas Mesyuarat Kepimpinan UMNO di Kuala Lumpur hari ini.

Perenggan 11 dalam perutusan khas Tun Mahathir itu menyatakan ‘Kesannya jika bersatu sokong PAS dan UMNO maka parti yang kalah lah yang akan diri kerajaan. Kerajaan ini akan didominasi oleh UMNO sebagai parti yang terbesar’.

Bagi perenggan 12 pula: ‘Saya sanggup terima ahli UMNO yang keluar UMNO dan menyertai parti lain. Tetapi UMNO akan sertai kerajaan campuran ini sebagai parti UMNO. Ini tidak dapat diterima oleh saya. Maka terpaksalah saya letak jawatan’.

Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 8:05pm
d