mutakhir

Jangan mendahului Yang Di-Pertuan Agong

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) berpendirian bahawa hak dan kuasa melantik Perdana Menteri terletak di tangan Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam kenyataannya di Petaling Jaya malam ini, Majlis Presiden PH memaklumkan ia adalah seperti yang termaktub di bawah Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Majlis Presiden berpendirian bahawa adalah tidak wajar untuk Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad mendahului titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam hal ini.

“Pengumuman Perdana Menteri Interim memanggil sidang Parlimen untuk memilih Perdana Menteri adalah mencabar hak dan kuasa Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Yang Di-Pertuan Agong dijadualkan bertemu dengan Raja-Raja Melayu untuk membincang perkara itu seperti diketahui umum.

“Majlis Presiden menggesa semua pihak untuk menghormati budi bicara Yang Di-Pertuan Agong dalam hal ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 11:21pm
    d