mutakhir

Dua parah nahas enam kenderaan

Oleh Nor Farhani Che Ad

DUA parah manakala empat cedera ringan dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan berdekatan Pejabat Hutan Renjer Gurun malam tadi.

Dalam kejadian pada 8 malam, mangsa parah dipercayai seorang lelaki berusia 21 tahun dan wanita berusia 40 tahun.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 8.19 malam.

Menurutnya, seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kemalangan dipercayai membabitkan dua kereta iaitu Perodua Axia dan Proton Wira serta empat motosikal.

“Dua mangsa yang parah itu adalah penunggang motosikal, seorang daripadanya tersepit di bawah sebuah kereta," katanya.

Beliau berkata, tindakan membawa keluar mangsa yang tersepit di bawah kereta dilakukan menggunakan peralatan khas.

Katanya, kesemua mangsa cedera dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan lanjut.

Disiarkan pada: February 28, 2020 @ 12:50am
d