mutakhir

Gara-gara bakar sampah, bengkel hangus [METROTV]

Oleh Zaid Salim

GARA-GARA membakar sampah di tepi bengkel, seorang lelaki kerugian hampir RM10,000 apabila bengkel kereta miliknya di Taman Permint Perdana, Seberang Takir di Kuala Nerus hangus dalam kejadian pada 7 malam tadi.

Kejadian itu menyebabkan pelbagai peralatan membaiki kereta termasuk struktur bengkel dan sebuah motosikal Honda C70 musnah.

Pemilik bengkel berkenaan, Badli Hisham Abd Rahman, 35, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat bersama ibu dan adik beradiknya di rumah yang terletak kira-kira 50 meter dari bengkel.

"Saya terdengar jiran menjerit bengkel terbakar dan segera keluar sebelum mendapati sebahagian bengkel yang menempatkan peralatan membaiki hangus.

"Saya tak mampu buat apa-apa dan hanya melihat sahaja api membakar bengkel sementara jiran sibuk memadamkan api," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Badli Hisham berkata, dia membersihkan kawasan bengkel termasuk membakar sampah berhampiran.

"Bagaimanapun, saya sudah memadamkan api sebelum pulang dari bengkel pada 6.15 petang.

“Kemungkinan kerana cuaca panas dan rumput di sekitar bengkel kering menyebabkan api kembali menyala dan merebak ke bengkel," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.16 malam.

"Dua jentera bomba dari BBP Kuala Terengganu dan Kuala Nerus bersama 13 anggota diketuai Pegawai Bomba Tinggi (PBT 1) Yusmizan Yusof dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya.

Katanya, sebaik tiba api sudah membakar hampir keseluruhan bengkel dan usaha memadamkan kebakaran dilakukan bagi mengelak api merebak ke rumah berhampiran.

Beliau berkata, api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 15 minit kemudian.

Disiarkan pada: February 28, 2020 @ 1:01am
d