mutakhir

Sudah penat angkut air

Oleh Hassan Omar

ORANG ramai yang semakin terdesak akibat catuan bekalan air merayu kerajaan negeri menimbangkan untuk memulihkan kembali bekalan air seperti biasa.

Ia bagi meringankan beban orang ramai yang terpaksa mengangkut air dari pusat agihan setempat ke kediaman masing-masing selain bagi meneruskan rutin harian dengan lebih selesa.

Mohd Helmi Sabtu, 49, berkata, sejak catuan air fasa pertama dimulakan pada 29 Januari hingga 9 Februari lalu dan dilanjutkan dalam fasa kedua (10 hingga 23 Februari lalu) dan fasa ketiga (Isnin lalu hingga 8 Mac depan), dia terpaksa mengangkut air terutama pada waktu malam.

“Saya jarang mengambil air pada waktu siang kerana bekerja dan lazimnya terpaksa mengangkut air pada sebelah malam.

“Saya merayu kerajaan negeri untuk mengembalikan bekalan air seperti biasa kerana hujan juga sudah melanda seperti biasa,” katanya ditemui di pusat agihan setempat di Kampung Pasir Gembor, Tanjung Bidara dekat Alor Gajah, semalam.

Pusat berkenaan adalah satu daripada 132 pusat seumpama itu yang disediakan Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB) untuk orang ramai mendapatkan bekalan air.

Bagi Zanariah Abu Bakar, 55, dia sentiasa memastikan 10 tong air di kediamannya diisi penuh untuk digunakan ketika hari bekalan air dicatu.

“Empat anak yang bekerja di Kuala Lumpur juga tidak dapat pulang setiap hujung minggu akibat catuan air ini.

“Pemulihan bekalan air perlu diberikan perhatian oleh kerajaan negeri kerana ia berkaitan kebajikan rakyat,” katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2020 @ 7:15am
d