mutakhir

Tiga pusat rekreasi bebas kencing tikus

Oleh Balqis Jazimah Zahari

TIADA mana-mana pusat rekreasi di Perak yang mencatatkan kes Leptospirosis atau kencing tikus termasuk tiga lokasi yang ditularkan di media sosial sejak semalam.

Jabatan Perhutanan Negeri Perak dalam kenyataan dimuat naik di Facebook memaklumkan kes itu tidak berlaku di Taman Eko Rimba Lata Kinjang, Lata Iskandar dan Kuala Woh di Tapah.

“Semakan sudah dibuat dengan pihak Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) mengenai risalah yang tular menggunakan nama Pusat Perubatan Angkatan Tentera.

“Pihak RAMD memaklumkan bahawa apa yang diviralkan berkenaan adalah tidak benar dan pihak jabatan sudah memohon pihak RAMD untuk memperbetulkan semula kenyataan (tular) berkenaan,” katanya.

Semalam, tular di media sosial berkenaan satu memo menggunakan kepala surat RAMD yang memaklumkan amaran kepada warga RAMD Kem Tapah agar tidak mengunjungi ketiga-tiga pusat rekreasi di sekitar kem terbabit kerana kes Leptospirosis.

Disiarkan pada: February 28, 2020 @ 3:12pm
d