mutakhir

Semua penuntut UniSZA jalani ujian kecergasan

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

KES kematian mengejut kerana serangan jantung membabitkan golongan muda yang semakin meningkat mendorong Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjalankan program Ujian Kecergasan Jasmani Kebangsaan (UKJK) di universiti berkenaan.

UKJK yang julung kali dijalankan membabitkan semua warga UniSZA sekali gus diharap melahirkan penuntut yang holistik, sihat fizikal dan mental.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniSZA, Prof Dr Mohd Afandi Salleh berkata, program itu bertujuan untuk meningkatkan tahap kecergasan seluruh warga UniSZA selain melahirkan graduan yang sihat dalam segala aspek.

“UKJK dilaksanakan secara berperingkat sehingga 7 Mac dan semua penuntut wajib menjalaninya.

“Melalui program ini, pihak universiti boleh memantau perkembangan kesihatan penuntut sepanjang tempoh pengajian di UniSZA,” katanya ditemui pada majlis perasmian UKJK di Dewan Gemilang, UniSZA di sini, hari ini.

Tambahnya, pihak universiti juga mengambil inisiatif dengan membangunkan aplikasi kesihatan ‘UniWellness’ yang boleh dimuat turun oleh mahasiswa dalam telefon pintar bagi melihat perkembangan kecergasan daripada semasa ke semasa.

“Antara ujian yang dilaksanakan melalui UKJK itu ialah jangkauan melunjur, tekan tubi, bangkit tubi serta larian sejauh 2.4 kilometer (km).

“Mereka juga menjalani pemeriksaan kesihatan yang diselia penuntut Fakulti Sains Kesihatan UniSZA sendiri selain kakitangan Pusat Kesihatan Pelajar UniSZA,” katanya.

Menurut beliau, ujian kesihatan itu bertujuan untuk mengenal pasti indeks jisim tubuh (BMI) penuntut sama ada normal, obesiti atau tidak normal.

“UKJK ini bukan sahaja untuk memeriksa tahap kesihatan dan kecergasan malah sebagai pendorong kepada penuntut untuk menjalani kehidupan sihat seterusnya kekal cergas dan aktif,” katanya.

Pengarah Program UKJK, Nor Faqid Idham Nasrul Nor Azali berkata, program itu dirangka bagi memastikan penuntut bukan sahaja cerdas dalam akademik malah kesihatan jasmani dan mental.

“Ia langkah tepat UniSZA dalam memastikan penuntut sentiasa berada di tahap kecergasan yang baik,” katanya.

Sementara itu, penuntut, Nur Zahirah Addawiyah Mohd Lukman, 21, berkata, UKJK membantu penuntut memeriksa tahap kesihatan masing-masing.

“Sebelum ini, kami sangka memiliki badan yang tidak gemuk menjamin kesihatan dan sukar menghidap penyakit termasuk masalah jantung.

“Selepas menyertai UKJK, kami diberi pendedahan mengenai amalan cara hidup sihat dan aktiviti riadah serta senaman yang perlu diamalkan,” katanya.

Menurutnya, program UKJK itu wajar dijalankan di semua universiti bagi menggalakkan penuntut memeriksa tahap kesihatan.

Disiarkan pada: February 28, 2020 @ 3:32pm
d