mutakhir

Tabung Qaradh buat murid seronok bersedekah

Oleh Redzuan Muharam

DEMI menarik minat dan menggalakkan murid bersedekah, seorang guru, Asif Pahmi Mokhtar mengambil inisiatif mencipta tabung derma dengan rekaan berkonsepkan permainan.

Asif, 40, yang mengajar subjek Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan (SK) Sulaiman, Bentong, Pahang berkata, tabung dinamakan Qaradh itu diperbuat daripada bahan terpakai seperti kayu dan lain-lain lagi dengan mengambil masa empat hari untuk disiapkan.

Menurutnya, idea tercetus secara spontan dan dilaksanakan selepas mendapat sokongan serta persetujuan daripada Guru Besar, Ismail Bakar.

“Sebelum ini, ada tabung disediakan di surau dengan kutipan diadakan setiap Jumaat.

“Ada yang menyumbang tetapi kita mahu hidupkan lagi budaya bersedekah dan atas sebab itu, tercetusnya idea mencipta tabung berkenaan.

“Bagi mencipta kelainan, saya cipta tabung dengan rekaan seperti permainan dan Alhamdulillah, guru besar sukakan idea itu hanya selepas saya menunjukkan lakaran sebelum memulakan proses pembuatan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Asif berkata, sejak ditempatkan di surau sekolah kutipan bertambah malah dalam tempoh tiga hari, lebih RM140 dikutip hasil sumbangan murid.

Katanya, ia satu perkembangan positif dan bukti idea itu berkesan dalam menarik minat murid untuk bersedekah.

"Uniknya rekaan tabung itu kerana murid boleh merasai pengalaman seperti bermain satu permainan ketika memasukkan duit.

"Ini kerana wang syiling dimasukkan akan menggelungsur melalui halangan sebelum jatuh ke bawah. Jadi sambil menderma, murid dapat berseronok dengan cara itu.

“Sejak adanya tabung berkenaan, kita dapat lihat keterujaan murid menderma dan inisiatif ini diharap memupuk sikap suka bersedekah tidak kira di mana mereka berada," katanya yang berkhidmat sebagai guru sejak 2005.

Sementara itu, Ismail berkata, ciptaan tabung berkenaan seiring dengan hala tuju sekolah yang menerapkan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan Bahasa dan Matematik (STEM) dalam pengajaran dan pembelajaran.

"Ciptaan tabung itu menunjukkan kejayaan dan kualiti inovasi guru di sekolah ini.

"Oleh kerana itu, kita beri galakan kerana dengan adanya tabung berkenaan, murid dapat berseronok tanpa lupa untuk bersedekah.

"Lagipun, bukan hanya akademik yang kita mahu tekankan tetapi pembangunan akhlak dan sahsiah," katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2020 @ 3:50pm
d