mutakhir

Semakin ramai remaja di Pahang merokok

Oleh Mohd Rafi Mamat

JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Pahang mendapati semakin ramai remaja di bawah 18 tahun terbabit dengan aktiviti merokok secara sembunyi dan terbuka.

Pengarahnya, Datuk Dr Bahari Muda berkata, ini dapat dilihat apabila 152 notis kesalahan merokok di premis makan dikeluarkan kepada remaja di negeri ini dalam tempoh dua bulan tahun ini.

Katanya, pihaknya memandang serius pertambahan jumlah remaja merokok kerana bermula dengan merokok, mereka akan terdedah dengan penagihan dadah.

“Walaupun larangan menjual rokok kepada remaja bawah umur sudah lama dikuatkuasakan kerajaan namun ia diingkari pekedai.

“Faktor berkenaan mengundang pertambahan jumlah remaja di peringkat sekolah menengah terbabit dengan aktiviti menghisap rokok,” katanya pada program Walkabout Bebas Asap Rokok di Tempat Makan di Jalan Tun Ismail di sini, kelmarin.

Beliau berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan bagi memastikan anak mereka tidak merokok, sentiasa pantau aktiviti anak mereka terutama di rumah dan berbincang secara baik sekiranya sudah berlaku.

Sementara itu, Dr Bahari berkata, pihaknya memeriksa 12,458 premis makanan di seluruh negeri dan mengeluarkan 733 notis kesalahan kepada perokok.

Katanya, 75 notis amaran dikeluarkan terhadap pemilik premis seluruh negeri membabitkan 57 notis gagal meletakkan tanda larangan merokok dan 18 notis gagal memastikan pelanggan tidak merokok dalam premis mereka.

Menurutnya, sepanjang operasi, 959 pelbagai kesalahan dikesan dilakukan oleh pemilik premis membabitkan kebersihan, kad kesihatan, penyediaan makanan dan kawasan persekitaran.

Daerah ini mencatat jumlah tertinggi notis kesalahan merokok dikeluarkan iaitu 1,775, diikuti Bera (1,753), Rompin (1,473),

Bentong (1,349), Cameron Highlands (1,309), Temerloh (1,010), Pekan (842), Maran (840), Raub (798), Lipis (660) dan Jerantut (649).

“Tinjauan secara ulangan selama dua bulan yang dilakukan di premis mendapati jumlah kesedaran masyarakat terhadap larangan merokok di premis semakin bertambah, mereka mematuhi peraturan ditetapkan.

“Aktiviti penguatkuasaan akan terus dilakukan secara berterusan bagi memastikan semua pihak iaitu perokok dan pemilik premis mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Tamat

Disiarkan pada: February 28, 2020 @ 4:33pm
d