mutakhir

Maut kepala tersepit lif

Oleh Zuhainy Zulkiffli

LELAKI Myanmar meninggal dunia selepas kepalanya tersepit di lif pengangkut barang ketika sedang bekerja di sebuah kilang di Bukit Mertajam, hari ini.

Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang ketika dihubungi memberitahu menerima panggilan kejadian pada 2.50 petang.

Katanya, kejadian berlaku di sebuah kilang memproses makanan di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak.

“Anggota bomba tiba sejurus menerima panggilan dan mendapati kepala mangsa tersepit di lif pengangkut barang ketika sedang bekerja.

“Mangsa dikenali sebagai Wing Aung berusia 40 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke hospital,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kerja menyelamat membabitkan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bandar Perda dan BBP Sungai Bakap.

Disiarkan pada: February 28, 2020 @ 5:11pm
d