mutakhir

Rakyat Johor lega

Oleh Adnan Ibrahim

KEMELUT politik di negeri Johor berakhir apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Hasni Mohammad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di Istana Bukit Serene di sini, petang ini.

Keputusan itu memberikan kelegaan kepada rakyat negeri ini dan berharap ia turut dapat dilaksanakan di negeri lain dan kerajaan Persekutuan.

Seorang penduduk, Hishamuddin Othman, 59, berkata, keputusan itu sememangnya dinantikan oleh rakyat negeri ini dan diharapkan berkekalan hingga ke Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU-15).

“Apa yang kami harapkan adalah kerajaan baharu ini dapat memenuhi inspirasi rakyat yang amat kecewa dengan pentadbiran kerajaan sebelum ini.

“Kami juga berharap mereka dapat bekerja keras memulihkan semula segala kepincangan yang berlaku seterusnya menjadikan Johor lebih maju,” katanya.

Manakala Azman Awang, 45, gembira dengan keputusan itu dan yakin kerajaan baharu mampu membawa banyak kebaikan kepada rakyat Johor.

“Rakyat negeri ini harus bersyukur kerana kemelut politik tidak berpanjangan dan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan.

Hasni, 61, adalah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor selain Pengerusi Perhubungan UMNO Johor.

Beliau menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal dari Bersatu, yang dilantik sebagai Menteri Besar yang ke-17 pada 14 April, 2019.

Rabu lalu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertemu dengan 54 ADUN Johor bagi mengetahui siapa pilihan mereka apabila BERSATU meninggalkan Pakatan Harapan (PH) Isnin lalu, sekali gus menjadikan Johor, kerajaan tergantung.

Ini adalah pelantikan Menteri Besar Johor yang ketiga dalam tempoh kurang tiga tahun selepas PRU-14 pada 9 Mei 2018.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 28, 2020 @ 7:20pm
    d