mutakhir

Bantah ambil tanah kampung untuk KXP [METROTV]

Oleh Nor Farhani Che Ad

KIRA-KIRA 300 penduduk Kampung Pantai Cicar di Sungai Petani berkumpul di hadapan Masjid Al-Muhsinin, hari ini bagi membantah cadangan pengambilan tanah kampung itu.

Difahamkan pengambilan untuk projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Kampung Pantai Cicar, Mohd Rizal Abdul Ghani mendakwa menerima notis pada 10 Februari lalu menyenaraikan lot tanah yang bakal diambil bagi projek KXP, termasuk keseluruhan tanah kawasan kampung mereka.

“Kampung ini dibuka oleh nenek moyang kami hampir 100 tahun lalu dan kebanyakan antara kami tinggal di sini sejak kecil.

“Melalui notis yang diberikan, lot tanah itu membabitkan keseluruhan kampung, yang menempatkan lebih 200 rumah termasuk kawasan masjid dan tanah perkuburan Islam,” katanya ketika ditemui.

Mohd Rizal berkata, penduduk kampung bimbang jika cadangan itu dilaksana, ia memberi kesan terhadap masa depan penduduk yang rata-ratanya penoreh getah, pekerja ladang sawit dan bekerja sendiri.

“Kami bukan membantah kemajuan pembangunan tetapi kami harapkan projek ini dilaksana secara terancang tanpa membabitkan tanah kampung kami.

“Namun, sekiranya terpaksa dilakukan, kami harap kerajaan memberi jaminan kepada penduduk kampung dengan memberi pampasan yang setimpal atau penempatan yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata, satu memorandum yang mengandungi hampir 1,000 tandatangan penduduk bakal diserahkan kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Difahamkan, selain Kampung Pantai Cicar, beberapa kampung berdekatan turut tersenarai dalam cadangan pengambilan tanah, antaranya Kampung Kuala Sedim, Kampung Jerung, Kampung Kemumbong, Kampung Lubuk Kiab, Kampung Batu Pekaka dan Kampung Tanah Licin.

Pada Mac 2019, Kerajaan Perseketuan meluluskan tujuh projek dan program berimpak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion termasuk KXP yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 billion.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Kedah Tan Kok Yew berkata, kerajaan negeri akan membuat siasatan dan mengkaji semula impak projek terhadap persekitaran.

“Ini baru permulaan perancangan, selepas ini akan ada sesi perbincangan dan kita minta pemilik tanah tidak menandatangani sebarang dokumen berkaitan.

“Perlu merujuk kepada Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Muda sebelum mengambil apa-apa tindakan,” katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2020 @ 7:31pm
d