mutakhir

Media berkampung di rumah Muhyiddin pula [METROTV]

Oleh Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

SELEPAS pengumuman tiga parti mencalonkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan, kediaman pemimpin itu kini menjadi tumpuan media.

Pengamal media berkampung di kediaman Ahli Parlimen Pagoh itu di Bukit Damansara, Kuala Lumpur bermula 5 petang hari ini.

Kedatangan media dipercayai ada kaitan dengan pelantikan Perdana Menteri baharu selepas Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin pelbagai parti.

Bermula 5 petang, dilihat orang pertama muncul menemui Muhyiddin adalah Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishamuddin Hussein diikuti Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Saifuddin Abdullah.

Selain itu, turut kelihatan Ahli Parlimen Selangau Baru Bian, Ahli Parlimen Alor Gajah Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Rina Harun.

Terdahulu, UMNO, PAS dan Bersatu mencalonkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri kelapan.

Ketiga-tiga parti itu mempersembahkan nama bekas Menteri Dalam Negeri itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 28, 2020 @ 10:55pm
    d