mutakhir

28 'pelacur' warga asing ditahan [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 28 wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai pelacur ditahan dalam serbuan di sebuah spa di tingkat 10 sebuah bangunan di Jalan Sultan Ismail, di Kuala Lumpur, malam tadi.

Dalam serbuan jam 8.20 malam itu, sepasukan pegawai dan anggota yang diketuai Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Kuala Lumpur Deputi Superintendan Ana Mohamed membuat serbuan di lokasi berkenaan selepas menerima aduan orang awam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, pihaknya menahan lima wanita warga Vietnam, Indonesia (10), Thailand (10), China (2) dan Mongolia (1) berusia antara 24 hingga 34 tahun yang dipercayai bekerja sebagai pelacur di spa berkenaan.

“Kami turut menahan lelaki tempatan disyaki penjaga premis dan dua pekerja premis berkenaan.

“Sebanyak 87 kondom, empat gel pelincir badan, jadual bertugas dan wang tunai berjumlah RM1,300 dirampas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, berdasarkan maklumat kegiatan pelacuran itu dipercayai aktif sejak beberapa tahun lalu dengan menjadikan perniagaan spa bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Difahamkan pelanggan yang datang boleh mendapatkan khidmat pelacur di premis ini dengan bayaran antara RM150 hingga RM300 bergantung kepada masa dan ‘perkhidmatan’ dilanggan,” katanya.

Katanya, kebanyakan wanita warga asing yang ditahan masuk ke negara ini sebagai pelancong menggunakan pas lawatan sosial kecuali warga China dan Mongolia kerana tidak memiliki sebarang dokumen.

“Semua individu yang ditahan akan direman bermula hari ini dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39(b) dan Seksyen 6(1)(c) akta sama,” katanya.

Disiarkan pada: February 29, 2020 @ 9:17am
d