mutakhir

Ajal langgar kerbau

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

SELEPAS setengah jam bertarung nyawa, seorang penunggang motosikal meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah akibat melanggar seekor kerbau di KM74.1 Jalan Kota Bahru-Gua Musang, berhampiran Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, malam tadi.

Dalam kejadian 11 malam itu, mangsa yang berasal dari RPT Kampung Temalir, Kuala Krai, Nik Ikmal Syafiq Nik Shamsuddin, 19, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di unit kecemasan Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal Honda Ex5 dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Temalir selepas membeli barang di bandar Kuala Krai.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa melanggar seekor kerbau yang berada di tengah jalan dan dipercayai tidak menyedari kehadiran haiwan itu berikutan keadaan jalan yang gelap.

“Akibat rempuhan itu, motosikal mangsa hilang kawalan sebelum terbabas di tepi jalan dan mengalami mengalami kecederaan parah di bahagian dada,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Suzaimi berkata, mangsa kemudian di bawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut berhubung kemalangan itu akan dijalankan,” katanya.

Disiarkan pada: February 29, 2020 @ 11:34am
d