mutakhir

Beras, tepung, gula percuma buat asnaf

Oleh Nazri Abu Bakar

PENGURUSAN Masjid As-Salihin Kampung Paya Rumput, Melaka mengambil inisiatif memperkenalkan gerobok rezeki bagi membantu golongan asnaf bermula hari ini.

Inisiatif itu membolehkan asnaf mendapatkan bekalan beras, tepung, gula dan garam secara percuma.

Pengerusi masjid, Khalil Ahmad berkata, asnaf cuma perlu menulis nama dan merekodkan barangan yang diambil tanpa bayaran.

Katanya, inisiatif itu bagi membantu insan memerlukan barangan dapur terutama orang kurang upaya (OKU) dan penduduk miskin tanpa perlu mengeluarkan wang.

“Gerobok rezeki menempatkan pelbagai barangan keperluan harian di bilik khas yang boleh diambil selepas solat fardu.

“Antara barangan yang disediakan ialah minyak masak, kicap, sardin, kordial dan susu. Barangan ini boleh diambil oleh mereka yang memerlukan termasuk bukan dalam kariah,” katanya.

Sementara itu, setiausaha masjid, Roslan Yahya berkata, langkah berkenaan mampu meringankan beban insan kurang bernasib baik sama ada yang bujang atau berkeluarga.

“Program menerusi sumbangan orang ramai ini turut mendapat sokongan dermawan prihatin,” katanya.

Beliau berkata, selain wang tunai, orang ramai juga digalakkan menyalurkan sumbangan barangan.

Disiarkan pada: February 29, 2020 @ 11:49am
d