mutakhir

D7 Bukit Aman selamatkan 'GRO' bawah umur [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

REMAJA perempuan warga Vietnam berusia 17 tahun diselamatkan dalam Operasi Noda (Op Noda) di sebuah pusat hiburan di Bandar Kinrara, Puchong, malam tadi.

Operasi jam 11.40 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, menahan 55 individu.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, daripada jumlah itu, 39 daripada adalah wanita warga asing yang bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO).

“Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menahan 39 GRO warga asing dengan 36 daripada mereka adalah warga Vietnam, manakala masing-masing seorang dari Ukraine, Rusia dan Indonesia berusia antara 22 hingga 35 tahun.

“Kami turut menahan 16 warga tempatan terdiri daripada dua wanita yang juga pengurus, penyelia, kapten, penjaga kaunter, pengawal dan pekerja premis berusia antara 22 hingga 39 tahun.

“Kami selamatkan warga Vietnam berusia 17 tahun dalam operasi ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zani berkata, modus operandi pusat hiburan itu adalah menawarkan khidmat layanan GRO warga asing untuk menarik pelanggan berkunjung ke premis berkenaan.

“Bayaran dikenakan mengikut harga bilik dan harga minuman yang dipesan pelanggan, manakala khidmat layanan GRO sebanyak RM120 dikenakan untuk tempoh empat jam.

“Kebiasaannya pelanggan dikenakan bayaran sekitar RM2,000 hingga RM9,000 setiap kali mereka berhibur di premis itu yang dipercayai beroperasi kurang dua bulan mensasarkan pelanggan warga tempatan,” katanya.

Katanya, pusat hiburan itu tidak mempunyai sebarang lesen pusat hiburan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tiada lesen penjualan arak.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) akta sama, Seksyen 35(1)(a) Akta Eksais 1976 dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Subang Jaya 2007,” katanya.

Disiarkan pada: February 29, 2020 @ 11:57am
d