mutakhir

Impian jadi kenyataan

Oleh Yusmizal Dolah Aling

HANYA dengan satu panggilan telefon, hasrat 26 orang Pendakwah Mualaf (PM) untuk menunaikan umrah menjadi kenyataan apabila penaja utama tampil membantu Yayasan Mualaf Malaysia (YMM) bagi merealisasikan impian itu.

Perkara itu dikongsi Pengarah Yayasan Abadi, Datuk Seri Mohamed Rafik Mohd Idris yang berkongsi mengenai tajaan penuh kepada yayasan berkenaan yang diputuskan dalam masa singkat, baru-baru ini.

Katanya, pihaknya merasa terpanggil untuk menyumbang kepada YMM selepas dimaklumkan seorang rakan mengenai inisiatif program Pembangunan Kendiri Mualaf - Road To Mecca 2020 yang ingin membawa pendakwah menunaikan umrah.

“Saya hubungi yayasan dan aturkan pertemuan untuk mendapatkan maklumat lanjut. Alhamdulillah, ia berlangsung dengan baik dan kerjasama ini begitu memberi makna kepada semua.

“Hari ini saya dapat bersua dengan mereka yang dijemput sebagai tetamu Allah dan ia mengingatkan saya bagaimana perasaan ketika ke Makkah satu waktu dulu,” katanya pada Majlis Pelepasan Program Pembangunan Kendiri Mualaf - Road To Mecca, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi YMM Shila Lama Abdullah dan Penasihat YMM Mohd Gunawan Che Ab Aziz.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Hotel Grand Blue Wave Shah Alam berkata, selain daripada tajaan pakej umrah, pihaknya juga menyediakan sagu hati wang tunai kepada PM untuk digunakan semasa di sana.

“Penajaan umrah ini adalah niat murni Yayasan Abadi untuk berkongsi rezeki bersama mereka yang memerlukan serta diharap dapat membangkitkan semangat mereka untuk meneruskan usaha dakwah.

“Tajaan Yayasan Abadi seperti ini adalah yang pertama diberikan kepada mualaf yang bergiat aktif dalam dakwah,” katanya.

Disiarkan pada: February 29, 2020 @ 1:20pm
d