mutakhir

Atuk maut, anak cucu cedera

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

WARGA emas maut, seorang anaknya parah dan empat ahli keluarga termasuk tiga cucu cedera dalam kemalangan di Kilometer 89.2 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Pasar Manik Urai, Kuala Krai, hari ini.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, Ismail Hamat, 73, meninggal dunia di lokasi kerana parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, kemalangan berlaku apabila Perodua Kancil dipandu anak lelaki mangsa berusia 27 tahun hilang kawalan sebelum terbabas dan memasuki longkang.

“Ketika kejadian, enam sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kok Lanas selepas menziarahi saudara di Chiku, Kuala Krai.

“Insiden menyebabkan mangsa maut, seorang anak perempuannya berusia 26 tahun patah paha kanan, anak lelaki juga pemandu cedera di dada, sementara tiga cucu berusia setahun hingga 13 tahun cedera ringan.

“Semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kenderaan itu dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan selain sampel darah pemandu kereta turut diambil.

“Keputusan awal saringan itu mendapati pemandu negatif dadah. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Disiarkan pada: February 29, 2020 @ 2:43pm
d