mutakhir

Pergi Lubok Antu rupanya...

Oleh Mohd Roji Kawi

GERAKAN mencari dan menyelamat (SAR) dua lelaki Eropah di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Semenggok di Kuching, yang dilancarkan sejak petang semalam, dihentikan hari ini selepas pelancong itu ditemui di simpang Lubok Antu, yang jaraknya 265 kilometer dari sini.

Kedua-duanya, Serhii Potoroka, 22, dan Anton Sasiuk, 21, (dari Ukraine) yang dipercayai menumpang kenderaan perdagangan untuk ke Lubok Antu, ditemui anggota polis, 10.30 pagi tadi.

Berikutan itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, SAR ditamatkan 10.48 pagi tadi.

“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan melakukan pencarian di kawasan Pusat Perlindungan Hidupan Liar itu, namun gagal menemui mereka sehingga lewat petang semalam.

“Selepas itu, JBPM menggunakan media sosial untuk mengedar gambar terkini dua pelancong itu yang diambil petugas ketika mereka cuba memasuki pusat hidupan liar itu,” katanya.

Hasilnya, JBPM menerima maklum balas segera apabila beberapa individu mendakwa ternampak dua pelancong terbabit di Serian yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Pusat Perlindungan Hidupan Liar Semenggok.

“Berdasarkan maklumat itu, kami melancarkan gerakan mencari di Serian dan beberapa individu yang ditemui mengaku ada melihat mereka berjalan di bandar itu, termasuk penjual burger yang mendakwa dua lelaki itu ada berhenti di gerainya.

“Pencarian kami teruskan sehinggalah mereka ditemui di simpang ke Lubok Antu pagi ini,” katanya.

Dua pelancong itu dikatakan mencetus sedikit kekecohan apabila cuba memasuki Pusat Perlindungan Hidupan Liar Semenggok itu secara percuma, pagi semalam.

Difahamkan, sedikit pertengkaran tercetus antara mereka dengan petugas pusat berkenaan selepas mereka enggan membayar tiket masuk, namun mereka kemudiannya dibenarkan masuk selepas beberapa pelancong lain menghulurkan wang untuk membeli tiket.

Bagaimanapun, ketika pusat berkenaan ditutup 4.30 petang, petugas menyedari dua pelancong terbabit belum keluar dari kawasan hutan yang menjadi habitat Orang Utan itu.

Berikutan itu, petugas membuat laporan polis sebelum JBPM menjalankan SAR.

Disiarkan pada: February 29, 2020 @ 4:09pm
d