mutakhir

73 rumah untuk miskin, OKU

Oleh Syaherah Mustafa

ETIQA Insurans dan Takaful membina 73 rumah di bawah Program Rumah Warga Miskin dan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan kos bernilai lebih RM2.1 juta.

Ia membabitkan pembinaan kediaman di Kelantan dan Kedah sejak 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad Zafri Ab Halim berkata, projek itu inisiatif di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dengan kerjasama Islamic Malaysia Aid (IAM).

“Pihak kami bukan sahaja membantu masyarakat yang beragama Islam tetapi juga yang bukan Islam melalui tiga saluran bantuan iaitu zakat, amal jariah dan CSR.

“Ia sejajar dengan visi dan misi ETIQA Takaful menjadikan dunia tempat yang lebih baik untuk didiami dengan membantu orang ramai selain menjalankan pelbagai projek alam sekitar untuk impak jangka masa panjang,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan kunci rumah kepada penerima di Kampung Telaga Mas di Rantau Panjang, hari ini.

Hadir sama, Presiden Islamic Aid Malaysia Zawahir Abdullah.

Zafri berkata, di Kelantan pihaknya membina dua rumah di Kampung Telaga Mas, Rantau Panjang dan Kampung Betong, Salor, Pasir Mas yang berjaya disiapkan dalam tempoh tiga bulan.

“Bagi sesi 2019 dan 2020, lima rumah dibina termasuk tiga di Kedah yang dijangka siap pada Jun,” katanya.

Disiarkan pada: February 29, 2020 @ 5:17pm
d