mutakhir

Wanita Indonesia ditahan bersama syabu

Oleh Abdul Rahemang Taiming

HELAH seorang wanita Indonesia menyembunyikan syabu seberat 455.23 gram bernilai kira-kira RM45,500 terbongkar apabila ditahan polis bantuan di Terminal Feri Penumpang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, suspek yang berasal dari Bulukumba, Sulawesi Selatan, Indonesia itu ditahan 2.40 petang.

Terdahulu katanya, wanita terbabit didapati dalam keadaan mencurigakan ketika mahu menaiki feri sebelum melalui kaunter pemeriksaan keselamatan di balai berlepas.

“Pemeriksaan pada badan suspek menemui dua bungkus plastik hitam dalam poket seluarnya.

“Setiap bungkusan plastik hitam itu mengandungi 10 bungkusan pelbagai saiz dibalut tisu putih dengan setiap satunya mengandungi paket plastik berisi syabu,” katanya pada kenyataan hari ini.

Katanya, suspek dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.

gambar:

1- TAWAU 29 FEBRUARI 2020. Syabu yang dirampas daripada wanita warga Indonesia di Terminal Feri Tawau, petang semalam. Nstp / Ihsan IPD TAWAU.

tamat

Disiarkan pada: February 29, 2020 @ 7:27pm
d