mutakhir

Semoga pentadbiran Muhyiddin dipandu Allah

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

TIGA Menteri Besar negeri di Pantai Timur menerima pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 bersama harapan agar pentadbiran negara terus lancar.

Mereka turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Muhyiddin yang dimuat naik di laman sosial masing-masing.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, semoga Muhyiddin dipandu oleh Allah SWT dalam menjalankan tugas.

“Patik menjunjung kasih ke hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan melantik Muhyyidin Yasin sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-8.

“Semoga dengan kebijaksanaan kepimpinan Tuanku akan terus memastikan urusan pentadbiran negara berjalan lancar ke arah Malaysia Sejahtera,” katanya.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula menyampaikan ucapan tahniahnya kepada Muhyiddin yang dimuatkan di Twitter.

Sementara, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan Al-Sultan Abdullah melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri melegakan rakyat.

Katanya, ia juga membuktikan keberkesanan persepakatan dalam kalangan parti politik tanah air.

“Semoga pentadbiran negara dapat digerakkan kembali demi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 29, 2020 @ 7:46pm
    d