mutakhir

Pengalaman Muhyiddin meyakinkan - MB Kelantan [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

“KITA bersyukur, sekurang-kurangnya ada ‘member’ Kabinet kita dapat merapatkan hubungan antara kerajaan negeri dan Pusat,” kata Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yakob.

Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan mengulas mengenai pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah petang hari ini sekali gus menjadikan PAS adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan sejak sekian lama menjadi parti pembangkang.

Beliau turut meluahkan harapan semoga pentadbiran negara selepas ini menjadi lebih baik dengan keutamaan diberikan untuk kebajikan rakyat.

“Selepas ini, Insya-Allah pentadbiran dapat wujud dengan lebih baik. Kita akan berusaha untuk mendapat sebanyak mungkin kebajikan dan kebaikan untuk rakyat negeri Kelantan,” katanya kepada media di Tumpat malam ini.

Ahmad ditemui di konsert amal bersama selebriti bagi mengumpul dana pembinaan bangunan PASTI Ar-Rahmah, Palekbang di Sekolah Menengah Ugama (SMU) Arab Bustanus Saadah, Morak.

Dalam perkembangan sama, Ahmad meluahkan perasaan lega kerana kemelut politik yang berlaku beberapa hari lalu dianggap berakhir dengan perlantikan Muhyiddin yang disifatkan langkah yang cermat oleh pihak istana.

Beliau berkata, pengalaman Muhyiddin dalam bidang politik selama ini sangat meyakinkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berupaya mentadbir negara.

“Bagi saya ini era baharu, suasana baharu (dengan) keupayaan beliau sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Pengalaman (beliau) pernah jadi Menteri Besar, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kabinet, orang biasa dan sekarang berada dalam satu parti baharu, saya rasa daripada pengalaman dan apa yang berlaku di sekeliling hari ini, kita yakin dia berupaya untuk merancang strategi bagi memulihkan persoalan perkara berbangkit selama 22 bulan (Pakatan Harapan memerintah),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 29, 2020 @ 10:22pm
    d