mutakhir

NSTP ungguli Anugerah Media Pahang 2020

Oleh Asrol Awang

KUMPULAN The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) memenangi 13 kategori Anugerah Media Pahang DRB-HICOM 2020 di Kuantan malam tadi.

Wartawan Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz meraih tempat pertama kategori Laporan Berita Jenayah.

Nurzuhairah Tasnim Lokman pula meraih dua kategori iaitu tempat pertama kategori Laporan Berita Bahasa Inggeris dan tempat kedua kategori Penulisan Rencana Bahasa Inggeris.

Tempat pertama kategori Penulisan Rencana Bahasa Inggeris dan tempat kedua kategori Foto Berita Sukan diraih Zulkepli Osman.

Wartawan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz meraih tempat kedua kategori Rencana Bahasa Melayu dan kategori Laporan Multimedia, Asrol Awang pula meraih tempat pertama kategori Laporan Berita Sukan manakala Mohd Rafi Mamat pula meraih tempat kedua kategori Laporan Berita Jenayah.

NSTP terus unggul menerusi Asyraf Syawal yang meraih tempat pertama kategori Foto Berita Sukan dan tempat ketiga kategori Foto Nilai Kemanusiaan.

Tempat pertama Foto Rencana Sukan menjadi milik Mohd Farizul Hafiz Awang dan tempat kedua Laporan Berita Bahasa Inggeris, T N Alagesh.

Johan setiap kategori menerima hadiah wang tunai RM1,500, kedua pula menerima RM1,200 dan ketiga RM1,000.

Anugerah disampaikan oleh Tengku Besar Pahang Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi Hijau Komunikasi dan Multimedia Pahang Datuk Mohd Fakruddin Mohd Ariff, Ketua Komunikasi Kumpulan DRB-HICOM Mahmood Abd Razak dan Presiden Kelab Media Pahang (KMP) Datuk Nik Naizi Husin.

Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 12:32am
d