mutakhir

Cubaan pindah tiga tan damar kayu gagal

Oleh Mohd Rafi Mamat

CUBAAN pemandu lori memindahkan damar kayu seberat tiga tan tanpa cukai hasil hutan gagal selepas dia ditahan di Kilometer 66 Jalan Muadzam Shah-Segamat, kelmarin.

Anggota Unit Penguat Kuasa Zon Pahang Timur Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) yang melakukan rondaan mengejar lori terbabit sejauh lima kilometer sebelum menahannya kira-kira 3 petang.

Penolong Pengarah Kanan Penguat Kuasa Zon Pahang Timur, Muhammad Firdaus Abdul Kadir berkata, pemeriksaan ke atas lori dipandu lelaki berusia 45 tahun itu menemui damar kayu jenis meranti, merawan dan balau yang disimpan dalam guni putih setiap satu seberat 40 kilogram.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati lori yang berdaftar di negeri ini membawa sebanyak tiga tan damar kayu untuk dihantar kepada pembeli di negeri jiran.

Katanya, pemandu lori terbabit mendakwa dia menerima upah bagi memindahkan damar kayu berkenaan yang diambil di beberapa tempat pengumpulan di Jalan Muadzam Shah-Rompin.

“Mengikut Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 menjadi kesalahan individu yang memiliki dan memindahkan hasil hutan tanpa permit yang di keluarkan JPNP, sabit kesalahan boleh dikenakan denda atau kompaun,” katanya, hari ini.

Beliau menambah, lori bersama muatan damar kayu yang ditahan ditempatkan sementara di Pusat Pemeriksaan Perhutanan (PPP) Keratong, untuk tindakan selanjutnya oleh Unit Penguat Kuasa Zon Pahang Timur JPNP.

Muhammad Firdaus berkata, sudah lama pihaknya cuba mengesan lori terbabit kerana sebelum ini pernah terbabit dengan aktiviti memindahkan balak secara haram di daerah ini, pemiliknya seolah tidak serik walaupun pernah diberkas sebelum ini.

Katanya, Unit Penguatkuasa Zon Pahang Timur JPNP menasihatkan kepada pihak yang memiliki dan ingin memindahkan hasil hutan seperti balak, rotan, damar, buluh dan teras kayu supaya membuat permohonan permit bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

“Unit Penguatkuasa Zon Pahang Timur tidak akan bertolak-ansur dengan pesalah kerana kegiatan yang dilakukan menyebabkan kerajaan negeri menanggung kerugian kerana tidak menerima cukai,” katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 12:10pm
d