mutakhir

Kera dan babi serang penduduk [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

PENDUDUK Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang di sini, berada dalam ketakutan serta bimbang dengan serangan kera dan babi di kampung itu sejak lebih dua minggu lalu.

Semalam, Harian Metro menemui beberapa penduduk kampung yang mengalami kecederaan akibat terlanggar babi selain digigit kera hingga menyebabkan kecederaan teruk.

Haiwan terbabit bukan sahaja menganggu ketenteraman penduduk malah merosakkan pokok dan tanaman penduduk kampung.

Ab Marof Zakaria, 52, terpaksa menahan sakit selepas menerima beberapa jahitan di bahagian mata sebelah kiri dan dimasukkan dua skru pada tulang tengkorak selepas kemalangan akibat bertembung dengan babi.

“Ketika kejadian sekitar jam 8 malam, saya baru pulang kerja dengan menunggang motosikal. Saya membawa dengan had laju yang perlahan sebelum dikejutkan dengan babi yang tiba-tiba keluar dari semak dan melanggar saya.

“Apa yang saya ingat babi ini besar dengan ketinggian lebih satu meter. Saya jatuh tersungkur di atas jalan dan dalam kesakitan meminta bantuan jiran berdekatan untuk menghantar ke rumah sebelum dibawa terus ke hospital mendapatkan rawatan,” katanya.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, dia dimasukkan ke wad Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu, selama tiga hari.

Selain itu, seorang lagi mangsa, Norana Jamal, 48, turut menceritakan detik cemas apabila betisnya digigit kera liar yang berkeliaran di sekitar rumahnya malah ada yang masuk ke dalam kediaman penduduk atau kedai runcit untuk membuat sepah dan mencuri makanan.

Harian Metro difahamkan, masalah haiwan liar itu bermula sejak empat tahun lalu dan makin serius sejak kebelakangan ini apabila ia mula mencederakan penduduk kampung.

Wakil penduduk, Mat Bastaman Mamat, 58, merayu pihak bertanggungjawab supaya mengatasi masalah babi, kera dan tupai yang memberi kesan kepada tanaman dan penduduk kampung.

“Bagi mengelak perkara yang lebih teruk seperti ancaman nyawa saya mohon tindakan segera diambil. Saya sudah empat kali membuat laporan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Sudah dua kali Perhilitan datang ke kampung ini namun masalah ini belum selesai,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif, ketika dihubungi berkata, pihaknya dalam proses mengambil tindakan segera bagi membantu penduduk di kampung terbabit

“Pihak kami juga sedia bekerjasama dengan persatuan penduduk untuk memberi khidmat nasihat serta langkah-langkah yang boleh di ambil oleh penduduk tanpa melanggar peruntukan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar.

“Saya juga menasihati penduduk supaya tidak mendekati haiwan liar ini dan memaklumkan segera kepada kami jika ada serangan haiwan terbabit melalui talian 1 800 88 5151,” katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 12:19pm
d