mutakhir

Pecut lima kilometer sebelum dicekup

Oleh Mohd Rafi Mamat

PEMANDU lori ditahan ketika cuba memindahkan tiga tan damar kayu tanpa cukai hasil hutan di Kilometer 66 Jalan Muadzam Shah-Segamat, di Kuantan, kelmarin.

Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Zon Pahang Timur pada 3 petang.

Terdahulu, anggota terpaksa mengejar lori berkenaan sejauh lima kilometer selepas pemandunya cuba melarikan diri.

Penolong Pengarah Kanan Penguat kuasa Zon Pahang Timur, Muhammad Firdaus Abdul Kadir berkata, pemeriksaan ke atas lori menemui damar kayu meranti, merawan dan balau yang disimpan dalam guni putih seberat 40 kilogram setiap satu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati lori yang berdaftar di negeri ini membawa damar kayu milik individu lain untuk dihantar kepada pembeli di negeri jiran.

Ia dipercayai akan dijadikan bahan campuran menghasilkan barangan sembahyang Cina.

“Pemandu lori itu mendakwa menerima upah memindahkan damar kayu yang diambil di beberapa tempat pengumpulan di Jalan Muadzam Shah-Rompin.

“Saya difahamkan damar kayu berwarna putih kekuningan dan hitam itu dibekalkan beberapa Orang Asli di daerah ini, yang menjadikan aktiviti itu sebagai pekerjaan sambilan,” katanya hari ini.

Muhammad Firdaus berkata, mengikut Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 menjadi kesalahan individu yang memiliki dan memindahkan hasil hutan tanpa permit yang di keluarkan JPNP.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda atau kompaun.

Beliau berkata, lori bersama muatan damar kayu yang ditahan kini ditempatkan sementara di Pusat Pemeriksaan Perhutanan (PPP) Keratong, di sini untuk tindakan lanjut.

Muhammad Firdaus berkata, pihaknya sudah lama cuba mengesan lori berkenaan sebelum ini kerana dipercayai pernah terbabit aktiviti pemindahan balak secara haram di daerah ini.

“Pemandunya seolah-olah tidak serik walaupun pernah diberkas sebelum ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 12:34pm
d