mutakhir

Lelaki mabuk ditahan

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LELAKI berusia 25 tahun ditahan polis kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan.

Dia ditahan dalam sekatan pemeriksaan yang dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di Lebuhraya Darulaman, Alor Setar, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, operasi bermula pada 12 tengah malam dan berakhir jam 3.30 pagi, hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu ditahan selepas didapati memandu dalam keadaan mencurigakan.

“Ujian menggunakan alat ‘Screening Device II’ (SDII) mendapati tahap alkohol yang diambilnya agak tinggi.

“Berikutan itu, lelaki itu menjalani ujian kali kedua melalui mesin ‘Evidential Breath Analyzer (EBA) II’, dan hasil ujian mendapati kandungan alkohol yang diambilnya melebihi had ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Rozi berkata, kes di siasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau berkata, operasi Op Mabuk dilakukan hampir setiap hari di daerah ini, namun masih ada pemandu yang masih memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Tindakan mereka boleh membahayakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.

“Pihak kami akan mempergiatkan operasi serta mengambil tindakan lebih serius bagi mengesan pemandu di bawah pengaruh alkohol di beberapa kawasan ‘hotspot’ yang sudah dikenal pasti,” katanya.

Mohd Rozi berkata, mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan pemandu mabuk boleh menyalurkan aduan kepada polis.

Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 12:55pm
d