mutakhir

Renungan bawa maut

Oleh Rosman Shamsudin

JURU elektrik maut dipercayai ditetak dengan parang di taman perumahan di Taman Malim, Tanjung Malim, pagi semalam.

Dalam kejadian 9 pagi itu, mangsa, G Subaramaniam, 34, mati di tempat kejadian akibat ditetak di bawah telinga kiri oleh seorang penganggur berumur 57 tahun yang mempunyai 14 rekod jenayah lampau.

Pemangku Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintendan Koo Tai Chew berkata, kejadian berlaku di tepi jalan di taman perumahan itu.

Katanya, ibu suspek memaklumkan anaknya mempunyai masalah mental sejak keluar dari penjara tiga tahun lalu.

“Menurut ibunya suspek sering keluar rumah dengan membawa parang, kayu atau buluh yang terdapat di rumahnya dan dia memarahi dan mengejar orang tanpa sebab jika dilihat atau direnung.

“Ibunya juga memaklumkan suspek pernah menerima rawatan di Hospital Slim River tiga tahun lalu dan mengambil ubat penenang,” katanya ketika dihubungi, dekat sini.

Tai Chew berkata, hasil siasatan mendapati suspek sudah setahun tidak mengambil ubat kerana mendakwa ubat itu tidak dapat merawat sakitnya lagi.

“Ibu suspek memaklumkan anaknya mengaku menetak mangsa dengan sebilah parang panjang kerana mangsa merenungnya.

“Selepas mangsa rebah, suspek ke sebuah bengkel dan memecahkan cermin kereta, peti surat dan pasu bunga menggunakan parang sama,” katanya.

Beliau berkata, suspek kemudian pulang ke rumah dan menukar pakaian sebelum membonceng motosikal ke belakang sebuah pasar raya dipercayai untuk menghisap dadah.

Katanya, suspek kembali semula ke tempat kejadian dan mendapati mangsa terbaring di rumput serta masih bernafas tetapi tidak boleh bangun.

“Suspek pulang ke rumah dan membawa sebaldi air lalu mencurah air ke arah mangsa yang ketika itu sudah berada di dalam longkang, namun mangsa tidak bangun.

“Hasil pemeriksaan forensik mendapati mangsa mengalami luka di bawah telinga kiri dipercayai ditetak dengan sebilah parang panjang,” katanya.

Katanya, suspek kini ditahan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 2:08pm
d