mutakhir

300 ahli PH Beting Maro keluar parti

Oleh Norsyazwani Nasri

SERAMAI 300 ahli dan penyokong Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) di kawasan Beting Maro keluar parti dan menyertai PAS.

Mereka menyatakan hasrat itu kepada Ketua Penerangan PAS Sarawak, Zharudin Narudin yang menerima kemasukan dengan mengisi borang keahlian.

Zharudin berkata, mereka membuat keputusan keluar parti selepas bosan dan muak dengan polemik politik di peringkat nasional.

“Mereka yang keluar dari PH ini adalah dari Kampung Semarang yang mempunyai 652 pengundi.

“Semua 300 ahli itu bosan kerana janji palsu PH yang tidak ditunaikan terhadap Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mereka turut menyambut baik keputusan PAS yang menyokong Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

“Sokongan padu kepada PAS ini adalah kerana inilah parti yang berterusan menjaga kebajikan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro berbanding Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) yang sedia.

“Ikrar sokongan padu ini dinyatakan dalam majlis ringkas di salah satu pusat kegiatan aktiviti mereka yang juga akan dijadikan sebagai markas dan bilik gerakan PAS Cawangan Kampung Semarang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 3:33pm
    d