mutakhir

Polis siasat Aaron Yee

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS membuka kertas siasatan ke atas pemilik Facebook (FB) Aaron Yee yang memuat naik kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong berkaitan pelantikan Perdana Menteri kelapan.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis menjalankan siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Aaron Yee yang tidak berpuas hati dengan pelantikan Tan Sri Muhyidin Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan turut menulis komen berbaur lucah dan menghina Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini, polis turut membuka kertas siasatan berhubung kenyataan palsu di media sosial membabitkan kemelut politik negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, beliau sudah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara itu.

“Orang ramai perlu berhenti membuat spekulasi tanpa maklumat sahih bagi memastikan keamanan dan keharmonian negara terus terpelihara.

“Pemimpin parti politik juga diingatkan supaya menjalankan aktiviti politik mengikut Perlembagaan dan mengelak membuat kenyataan berunsur provokasi serta berniat tidak baik,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 3:35pm
    d