mutakhir

Kelantan bukan lagi negeri pembangkang

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

PERUBAHAN politik negara yang menyaksikan PAS menjadi sebahagian jentera pentadbiran Kerajaan Pusat, melakar sejarah tersendiri bagi Kelantan apabila tidak lagi menjadi negeri pembangkang selepas 30 tahun.

Situasi itu dianggap menjadi kejutan buat rakyat Kelantan memandangkan negeri itu sudah sekian lama menjadi negeri pembangkang.

Ahli Majlis Profesional Negara Kluster Perpaduan Nasional, Prof Madya Dr Nur Azuki Yusoff berkata, kemenangan Perikatan Nasional yang turut dianggotai PAS sehingga Kelantan kini menjadi negeri kerajaan satu kejutan besar buat rakyat Kelantan.

“Mereka yang terkejut semestinya berusia 30-an yang lahir di bawah pemerintahan PAS sebagai negeri pembangkang.

“Siapa sangka Kelantan sebelum ini negeri pembangkang dan sering dipinggirkan kini menjadi sebuah negeri Kerajaan.

“Bagi saya ini kejutan kedua buat rakyat Kelantan. Ketika PAS bekerjasama dengan UMNO yang membentuk Muafakat Nasional juga sudah dianggap kejutan pertama kerana selama ini mereka sering bergaduh namun akhirnya boleh bekerjasama,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Nur Azuki berkata, walaupun Kelantan kini negeri Kerajaan, namun beliau percaya rakyat negeri itu semakin bijak.

Katanya, rakyat tidak akan meletakkan permintaan tinggi dengan mahu limpahan kemudahan secara mengejut.

Nur Azuki yang juga pensyarah Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) turut berharap semua parti berusaha memainkan peranan masing-masing untuk mengekalkan Perikatan Nasional bagi mengelak sejarah lama berulang.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan UMK berkata, memandangkan Kelantan kini menjadi negeri Kerajaan, sepatutnya berlaku perubahan dari segi EXCO.

“Di Kelantan PAS mempunyai 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN); UMNO tujuh dan Parti Pribumi Persatu (Bersatu) satu kerusi, semestinya beberapa wakil UMNO perlu dilantik sebagai EXCO berdasarkan Perikatan Nasional.

“Pada masa sama, besar impian dan kehendak rakyat Kelantan untuk melihat pembangunan, peluang pekerjaan dan infrastruktur apabila menjadi negeri Kerajaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 3:51pm
    d