mutakhir

Puas hati dengan penjelasan - Anwar

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PKR menerima baik penjelasan yang dibuat beberapa pemimpan PKR yang dilabel sebagai pengkhianat dan menyokong bekas pemimpin parti itu.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil daripada mesyuarat yang diadakan itu dia menerima baik penjelasan yang diberikan.

“Mesyuarat PKR itu tadi kita panggil semua Ahli Parlimen seramai 39 orang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk memberikan penerangan lanjut mengenai apa yang diputuskan Pakatan Harapan (PH).

“Kita masih tetap dengan pendirian kita untuk meneruskan perjuangan bersama dan saya yakin kita boleh bawa perubahan,”katanya ketika ditemui selepas selesai mesyuarat terbabit.

Anwar berkata, pemimpin dan penyokong merasakan mereka dikhianati dan tindakan ini juga sepatutnya tidak perlu diberikan ruang untuk berlaku.

Beliau berkata, penyokong kini terpaksa menerima hakikat mereka dikhianati dengan konspirasi ‘pintu belakang’ yang dilakukan untuk menubuhkan kerajaan tanpa memikirkan isu rakyat.

“Apabila keadaan ini berlaku, isu rakyat, kebebasan dan keadilan bukan lagi menjadi agenda utama untuk diperjuangkan.

“Bukan khianat semata-mata untuk pegang kuasa tetapi untuk izikan rompakan harta rakyat berterusan,” katanya.

Ibu Pejabat PKR dipenuhi lebih 50 penyokong parti itu yang nyata tidak berpuas hati dengan perlantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Kekecohan juga berlaku terhadap pemimpin parti itu yang didakwa bersekongkol dengan bekas Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sehingga menyebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan.

Keadaan bagaimanapun kembali terkawal selepas disuraikan anggota polis yang ditugaskan di lokasi berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 4:02pm
    d