mutakhir

Dua beranak tokan dadah ditahan

Oleh Siti Rohana Idris

POLIS melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah susulan penahanan tiga lelaki termasuk dua beranak dalam serbuan di sebuah premis memproses makanan ringan di Kampung Sireh, di Kota Bharu, semalam.

Turut dirampas sejumlah syabu dan ekstasi bernilai RM259,900.

Serbuan dilakukan sepasukan polis dari cawangan siasatan jenayah narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada 12.45 tengah malam.

Ketua Polis daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, ketika serbuan, terdapat tiga lelaki tempatan berusia 25, 32 dan 56 tahun yang mana dua daripadanya adalah bapa dan anak dalam sebuah bilik di hadapan premis itu.

“Pemeriksaan lanjut menemui satu kotak berwarna coklat tidak bertutup di atas sofa berisi lima bungkusan plastik berwarna hijau yang mengandungi ketulan kristal disyaki syabu seberat 5,185 gram.

“Turut ditemui empat bungkusan plastik setiap satu berisi pil pelbagai warna disyaki ekstasi berjumlah 1,750 biji dan wang tunai bernilai RM74,900.

“Kesemua dadah itu dianggarkan bernilai RM259,900 mengikut harga pasaran semasa,” katanya pada sidang media hari ini.

Abdul Rahim berkata, turut disita sebuah kereta Mercedes Benz bernilai RM50,000.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah dan tidak memiliki rekod lampau.

Katanya, siasatan awal mendapati bekalan dadah itu diperoleh dari Thailand dan untuk pasaran sekitar Kota Bharu.

Menurutnya, premis terbabit dimiliki isteri seorang daripada suspek.

Beliau berkata, hasil risikan mendapati kegiatan itu bergerak aktif sejak sebulan lalu dan dalam tempoh itu pihaknya mengesan beberapa individu yang dikenal pasti terbabit.

“Kumpulan ini menjalankan aktiviti pengedaran dadah jenis syabu dan ekstasi kepada penagih dan pengedar sekitar Jalan Hamzah, Kampung Lembah Sireh dan Lundang dalam bentuk satu bar (50 gram) dengan harga RM1,300, manakala ekstasi pula RM30 sebiji bergantung kepada nilai pasaran semasa.

“Seorang suspek direman Jumaat lalu sehingga 4 Mac ini manakala dua lagi sehingga 9 Mac ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 6:26pm
d