mutakhir

Tun M satu-satunya calon PM

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TUN Dr Mahathir Mohamad satu-satunya individu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, keputusan itu dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.

Katanya, perjumpaan pada petang ini adalah antara Dr Mahathir dengan pemimpin parti dari Bahagian termasuk sayap-sayap parti bagi memberi penerangan perkembangan terkini membabitkan Bersatu selepas ada banyak dakwaan dikeluarkan pihak tertentu yang tidak berdasarkan kepada fakta.

“Jadi kesempatan ini, kita memberi sedikit kronologi mengenai apa yang berlaku membabitkan Majlis Pimpinan Tertinggi parti yang secara jelas membuat dua keputusan dalam mesyuarat MPT sebelum ini.

“Yang pertama ialah calon Perdana Menteri daripada Bersatu tidak lain dan tidak bukan adalah Tun Dr Mahathir. Tidak pernah ada keputusan daripada MPT yang menyatakan Tan Sri Muhyiddin adalah calon Perdana Menteri.

“Kedua, ialah MPT sebulat suara buat keputusan untuk meminta Tun Dr Mahathir menarik balik keputusan beliau untuk meletakkan jawatan sebagai pengerusi parti. Jadi tidak benar sama sekali mana-mana kenyataan yang menyatakan beliau tidak lagi pengerusi parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perjumpaan bersama pemimpin parti dari Bahagian serta sayap-sayap parti itu di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Mahathir dilihat meninggalkan bangunan yayasan itu dengan memandu kereta jenis Audi berwarna hitam jam 5.40 petang tadi.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 7:05pm
    d