mutakhir

Tiga 'handphone' RM27,000

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

NIAT seorang guru membeli tiga telefon pintar berjenama terkemuka tidak kesampaian, malah turut menanggung kerugian hampir RM27,000 selepas menjadi mangsa penipuan.

Kejadian bermula pada Jun tahun lalu apabila wanita berusia 43 tahun itu mahu membeli tiga telefon bimbit selepas tertarik dengan iklan sebuah kedai di Instagram.

Menurut sumber, hasil perbincangan, mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank diberikan oleh wakil kedai berkenaan pada 20 Julai 2019.

Katanya, mangsa sekali lagi memasukkan sejumlah wang pada keesokan harinya (21 Julai) yang didakwa sebagai bayaran dana sementara dengan suspek berjanji akan memulangkan semula wang itu.

“Suspek berjanji akan membuat penghantaran barang dibeli dengan segera, namun kelmarin mangsa diminta memasukkan RM2,000 lagi dengan alasan sebagai bayaran untuk baki kos.

“Mangsa sekali lagi akur dengan arahan suspek walaupun sedar sudah membuat pembayaran melebihi harga yang dirunding sebelum ini.

“Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila barang yang dibeli tidak diterima selain tidak mendapat kembali wang yang dijanjikan dan membuat laporan di Balai Polis Tepoh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

“Keterangan mangsa sudah diambil dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 7:54pm
d