mutakhir

'Saya masuk politik untuk bersihkan politik, tapi...'

Oleh Suraya Roslan

KETUA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat berterusan meluahkan isi hatinya selepas berbeza haluan dengan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sudah dianggap seperti bapanya.

Melalui catatan terbaru di Facebooknya, Ahli Parlimen Muar itu turut memuat naik gambar bersama Muhyiddin yang diambil pada 2015.

“Salah satu sebab saya masuk politik adalah kerana Tan Sri (Muhyiddin). Saya tidak sanggup melihat seorang pejuang kebenaran dihina, dimaki dan dibuang oleh UMNO kerana prinsip dan pendiriannya.

“Sebagai anak muda, saya bangga ada seorang pemimpin seperti Tan Sri. Saya tidak mahu dia berdiri berseorangan. Dalam politik, dia seperti seorang ayah kepada saya,” luahnya.

Menurutnya, dia menghadapi semua halangan termasuk dibuang kerja kerana mahu bersama Muhyiddin.

“Saya dibuang kerja, keluarga saya diugut dan pendidikan saya tergendala kerana bersama Tan Sri. Saya tidak menyesal kerana saya tahu hati saya berada di tempat yang betul.

“Menang atau kalah bukan matlamat utama. Prinsip perjuangan yang membakar semangat saya.

“Minggu ini, minggu yang paling mencabar. Saya masuk politik untuk bersihkan politik, tetapi diminta menubuhkan sebuah kerajaan bersama dengan pemimpin politik yang saya lawan kerana rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Katanya, dia tidak dapat menerima mereka yang terpalit dengan ratusan kes rasuah diangkat sebagai pemimpin menerajui negara.

“Tan Sri, ayah saya, mungkin tidak rasa bersalah tetapi saya tidak sanggup.

“Orang sama yang meninggalkan Tan Sri, buang Tan Sri, tikam Tan Sri daripada belakang sekarang diangkat bersama dalam kerajaan.

“Minta maaf Tan Sri kerana tidak dapat bersama. Saya akan terus berusaha dan berdoa supaya prinsip perjuangan kita akan dijunjung melebihi kepentingan politik,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 8:36pm
    d