mutakhir

'Kita tunggu sat'

Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Faliqah Alia Radin Mohd

“KITA tunggu sat (sebentar), lambat laun akan berlaku perubahan juga.” Reaksi itu diberikan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor ketika diminta mengulas mengenai pertukaran pada kepimpinan kerajaan Kedah susulan pembentukan kerajaan baharu semalam.

Memberikan bayangan bahawa PAS sudah dan sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan, beliau berkata, apa yang penting ketika ini ialah keadaan tenang dan harmoni di negeri itu perlu dikekalkan.

Katanya, ketika ini parti itu memberi ruang kepada proses peralihan susulan perubahan gabungan yang membentuk kerajaan pusat serta beberapa kerajaan negeri.

“Ya, kita menerima mesej daripada beberapa ADUN termasuk daripada Pakatan Harapan yang bertanyakan mengenai perkara itu. Tetapi pendekatan kita sama, jangan kelam-kabut kerana lambat laun semuanya terarah ke situ (perubahan kerajaan).

“Yang penting kita di Kedah ini perlu tenang, ikut haluan yang selamat dan selari dengan ketenangan negeri. Kita sudah jadi pembangkang sejak awal menyertai politik, kita tak gopoh.

“Kita perlu ambil kira perkembangan semasa, apa yang berlaku di pusat kerana itu juga akan memberi kesan kepada kita di negeri,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya apakah ada kemungkinan kerajaan Kedah akan kekal sebagai pembangkang di bawah pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir, beliau berkata, besar kemungkinan ia tidak akan berlaku.

Muhammad Sanusi berkata, ini kerana kebiasaannya kerajaan negeri perlu selari dengan pusat dan ia akan memberi banyak manfaat kepada rakyat sendiri.

“Kalau nak kata Kedah akan terus jadi kerajaan pembangkang, agak susah. Tapi kita tunggulah bagaimana perkembangan sehari dua lagi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 2, 2020 @ 11:39am
    d