mutakhir

MB Perak tidak dapat dihubungi - Exco

Oleh Zahratulhayat Mat Arif

EXCO Perak masih belum menerima apa-apa perkembangan terbaru mengenai pentadbiran negeri itu malah gagal menghubungi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, beliau cuba menghubungi Menteri Besar beberapa kali tetapi tidak berjawab.

“Kali terakhir saya bertemu beliau di Mandarin Hotel (Kuala Lumpur), juga pada hari beliau mengeluarkan kenyataan selepas menghadap Sultan Perak (25 Februari).

“Saya cuba menghubungi beliau tetapi panggilan tidak dijawab. Saya hubungi melalui telefon dan WhatsApp,” katanya ketika ditemui di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Hasnul yang juga Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, setakat ini beliau akan bertugas seperti biasa sehingga dimaklumkan perkembangan terkini.

Pada 25 Februari lalu, Ahmad Faizal dalam kenyataan berkata, masih kekal bertugas sebagai Menteri Besar Perak seperti biasa dengan sokongan majoriti ADUN.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri Dan Pembangunan Wilayah Perak (Exco), Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, Exco masih belum menerima arahan daripada Ahmad Faizal.

“Kami masih bertugas seperti biasa. Kita perlu tunggu kenyataan rasmi dan jangan membuat sebarang spekulasi.

“Terpulang kepada beliau (Ahmad Faizal) jika mahu merombak barisan Exco, itu prerogatif beliau,” katanya.

Difahamkan, satu sidang media yang dihadiri semua barisan Exco Perak dijangka diadakan hari ini bagi merungkai isu pentadbiran negeri.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 2, 2020 @ 12:20pm
    d