mutakhir

Dituduh guna kekerasan terhadap penjawat awam [METROTV]

Oleh Nurul Amanina Suhaini

SEORANG pemandu teksi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi atas tiga tuduhan menggunakan kekerasan dan enggan memberi kerjasama ketika pemeriksaan polis, Februari lalu.

Tertuduh, Norjahan Abdul Rahman, 30, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki telefon disyaki hasil curi dan menggunakan kekerasan jenayah kepada pegawai polis semasa menjalankan kewajipan di kawasan tepi Jalan Wayang di Kota Tinggi, 8.30 malam, pada 21 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, Norjahan didakwa mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, yang boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menceroboh sebuah bilik sewa milik orang lain di Jalan Pedada, Taman Kota Jaya, pada 5.30 petang, 21 Februari lalu, mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa kerana melakukan kekerasan terhadap anggota polis dengan niat menghalang tugas penjawat awam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, pada 4 Februari lalu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 untuk kesemua pertuduhan, selain menetapkan 29 Mac depan bagi sebutan semula kes dan sebagai tarikh serahan dokumen, termasuk pelantikan peguam.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Putera Amirool Faez Suhasi dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh juga sedang menunggu perbicaraan untuk dua kes pertuduhan terdahulu bersabit kes memiliki barang curi dan mencuri dengan persediaan menyebabkan kecederaan di mahkamah sama.

Disiarkan pada: March 2, 2020 @ 12:48pm
d